PPM gagalkan cubaan seludup ayam sabung

PPM gagalkan cubaan seludup ayam sabung

Labuan: Seorang lelaki ditahan bersama beberapa ekor ayam sabung dalam pemantauan di kawasan jalan persisir pantai Kampung Nagalang, di sini, petang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Asistan Superintenden Saidul Maruf Rosli berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 45 tahun terbabit selepas anggota bertugas melihat sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika berada di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek mendapati terdapat beberapa buah kotak yang berisi ayam jantan disyaki jenis sabung.

“Semua ayam berkenaan dipercayai untuk dibawa ke daerah Menumbok, Sabah dari persisir pantai Kampung Nagalang melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan membabitkan beberapa ayam sabung dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM85,000.

“Kes disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Sementara itu, Saidul Maruf meminta semua masyarakat maritim khususnya tinggal di kawasan persisir pantai agar menyalurkan sebarang maklumat dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|