Cubaan seludup keluar benih sawit gagal

Cubaan seludup keluar benih sawit gagal

Tawau: Cubaan seorang lelaki membawa keluar benih sawit tanpa dokumen sah dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan Sungai Tawau, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, seorang lelaki yang juga juragan kapal berusia 21 tahun terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Anggota pasukan PPM berjaya merampas benih sawit yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan dijalankan, pasukan operasi mendapati benih pokok sawit berkenaan dibawa masuk tanpa bukti pembelian sah.

Selain itu katanya, benih sawit berkenaan juga tidak mempunyai sebarang dokumen daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Pemeriksaan lanjut berjaya menemui benih pokok sawit yang disyaki hendak dibawa ke Sungai Panchang, Indonesia.

“Suspek yang ditahan terus dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, nilai rampasan termasuk jongkong adalah sebanyak RM 21,280 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Akta 582 (Peraturan Pelesenan) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplika si WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

“Maklumat juga boleh disalurkan secara terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|