Konsert Min Yasmin Live in Sandakan ditunda ke 27 dan 29 Mei

Konsert Min Yasmin Live in Sandakan ditunda ke 27 dan 29 Mei

Kota Kinabalu: Konsert Min Yasmin Live in Sandakan yang sepatutnya berlangsung bulan depan ditunda ke tarikh baharu pada 27 dan 29 Mei depan.

Pengurusnya, Julfekar berkata, tarikh konsert terpaksa dipinda berikutan keadaan jangkitan Covid-19 yang meningkat secara mendadak terutama di Sabah.

Katanya, berikutan situasi semasa kini menyebabkan kerajaan negeri mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) majlis melibatkan kehadiran tetamu yang ramai.

“Oleh itu, SS Event Management mengambil keputusan untuk meminda tarikh ‘Min Yasmin Live In Sandakan’ yang sepatutnya berlangsung pada 11 dan 13 Mac ini di Sabah Hotel Sandakan dan Yu Yuan Hall ke satu tarikh lain yang dijangkakan selepas Hari Raya.

“Buat masa ini, kami meminda ke 27 dan 29 Mei 2022. Namun, semuanya tertakluk kepada keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu berharap semua pihak terutama peminat yang telah membeli tiket konsert berkenaan supaya dapat memahami keadaan yang dihadapi ketika ini.

“Sebarang maklumat, kami akan kemas kini dari masa ke masa. Sebarang pertanyaan boleh hubungi SS Event Management 012-224 1257,” kata komposer terkenal itu.

Julfekar yang juga suami kepada Min Yasmin sebelum itu meminta maaf kepada semua pihak terhadap kesulitan yang tidak dapat dielakkan.

Januari lalu, pihak pengurusan konsert memaklumkan akan bersedia dengan sebarang perubahan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19.

Bercakap kepada media pada sesi pelancaran konsert berkenaan, Julfekar sentiasa menunggu jika ada perubahan SOP dan perkara itu sudahpun dibincangkan sebelum penetapan tarikh konsert diadakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|