Kota Kinabalu: Kehadiran jemaah di masjid dan surau seluruh negeri dibenarkan sehingga 50 peratus daripada kapasiti sedia ada untuk solat Jumaat serta solat lima waktu berjemaah berkuat kuasa hari ini.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan hanya menetapkan individu yang lengkap vaksinasi, termasuk imam dan ahli jawatankuasa masjid atau surau boleh datang untuk solat berjemaah.
Beliau berkata, jumlah itu mengambil kira penjarakan fizikal satu meter seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Jelasnya, jemaah juga dikehendaki membawa sejadah sendiri, selain wajib memakai pelitup muka sepanjang masa dan mendaftarkan kehadiran sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara bertulis.
“Hanya jemaah yang masih dalam pemantauan, golongan berisiko tinggi, mempunyai simptom seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan alahan serta kanak-kanak bawah 12 tahun tanpa ditemani ibu bapa tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau.
“Sekiranya ada jemaah yang disyaki atau disahkan positif COVID-19, masjid atau surau terbabit perlu melakukan proses sanitasi penuh dan jemaah lain yang hadir pada hari berkenaan perlu melakukan saringan mengikut prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, di sini.
Pada 11 Februari lalu, kerajaan negeri mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mengehadkan semula kehadiran di masjid dan surau kepada maksimum 150 orang atau satu pertiga ruang lantai tertutup berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri ini.
Bagi rumah ibadat bukan Islam, kebenaran kehadiran penganut juga ditetapkan sebanyak 50 peratus daripada kapasiti ruang sedia ada dengan pematuhan SOP yang termasuk penjarakan fizikal satu meter, pemakaian pelitup muka dan pendaftaran kehadiran.
-Deasoka