Paras air di enam kampung terjejas banjir surut, mangsa kekal 504 orang

Paras air di enam kampung terjejas banjir surut, mangsa kekal 504 orang

Kota Marudu: Paras air di enam kampung yang terjejas di daerah ini sudah surut sepenuhnya bagaimanapun jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal 504 orang.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, laporan paras air di Sungai Bandau dan Bongon setakat jam 9 pagi ini berada di bawah paras waspada serta berada dalam trend menurun.

Pasukan polis dari IPD Kota marudu turut terlibat bertindak memindahkan mangsa banjir ke PPS yang dibuka di Kota Marudu. Pix Ihsan PDRM

Beliau yang juga merangkap sebagai Komander Operasi Menyelamat Lapangan berkata, keadaan cuaca di daerah ini masih hujan namun berhenti-henti.

“Enam kampung yang terjejas banjir ialah Kampung Beliajung, Kampung Tongkungon, Kampung Teritipan, Kampung Tingkalanon, Kampung Sasayapon dan Kampung Paya.

“Bagaimanapun, paras air banjir di semua kawasan kampung terjejas di atas telah surut sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, dua PPS yang dibuka iaitu di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan menempatkan 251 mangsa terdiri daripada 70 ketua isi rumah (KIR) manakala PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek menempatkan 253 mangsa terdiri daripada 97 KIR.

“Setakat jam 8 pagi ini, proses pendaftaran di PPS SMK Tandek masih berjalan namun di PPS SK Teritipan telah ditutup.

“Pemantauan diteruskan dan pasukan penyelamat sentiasa siap sedia untuk menjalankan operasi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|