Sandakan: Dua pemandu berdepan detik cemas apabila sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan menghempap kenderaan dipandu dalam kejadian di Jalan Sabah Hotel, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, kedua mangsa berusia 30-an itu bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat manakala dua kenderaan jenis Proton Saga dan Proton Axia terperangkap di bawah pokok tumbang.
“Pasukan operasi terus menjalankan operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya sejurus selepas itu.
-Deasoka