Tiga pemandu mabuk, 25 saman dikeluarkan

Tiga pemandu mabuk, 25 saman dikeluarkan

Penampang: Tiga pemandu mabuk ditahan dan 25 saman dikeluarkan dalam dua Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, malam tadi.

Operasi sekatan jalan sempena sambutan ambang tahun baharu 2022 itu diadakan di Jalan Bundusan dan Jalan Papar-Kota Kinabalu.

Mohd Haris turun padang untuk meninjau operasi sekatan jalan yang dijalankan di dua lokasi terlibat. Pix ihsan PDRM.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi dijalankan dengan kekuatan 17 pegawai kanan dan 51 anggota polis.

Katanya, hasil operasi dijalankan, seramai tiga lelaki ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

“Selain itu, sebanyak 25 keping saman trafik pelbagai kesalahan juga dikeluarkan sepanjang operasi di dua lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Operasi turut membuat pemantuan di pusat hiburan bagi memastikan tiada perlanggaran SOP PPN. Pix ihsan PDRM.

Mohd Haris berkata, dalam masa sama, sebanyak 13 pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) juga diaturgerak di beberapa kawasan, taman perumahan serta kampung.

Katanya, ia menumpukan kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan perkumpulan di sekitar Daerah Penampang dan Putatan.

“Ia bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dalam mengelak berlakunya jangkitan atau kluster baru sepanjang tempoh sambutan ambang tahun baru.

“Kehadiran pasukan polis juga boleh membantu mengurangkan potensi berlakunya jenayah di kawasan-kawasan terlibat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|