Papar aksi penagihan dadah di facebook, lelaki dan wanita ditahan

Papar aksi penagihan dadah di facebook, lelaki dan wanita ditahan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki dan wanita ditahan polis selepas aksi menagih dadah yang dimuatnaik di laman sosial facebook berjaya dikesan pihak berkuasa, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan kepada rakaman video yang tular itu, polis berjaya menahan seorang wanita yang dikenali dengan nama ‘Momoi’.

Suspek lelaki dan wanita ditahan selepas tular aksi wanita itu menagih dadah syabu di media sosial.

Katanya, hasil siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lelaki iaitu pemilik akuan facebook bernama ‘Jordan Hassan’ yang memuat naik rakaman berkenaan.

“Kedua-dua suspek berjaya ditahan dalam serbuan yang dijalankan di rumah di Kampung Pondo, Pulau Gaya, dan di hadapan bangunan SAFMA, di sini.

Polis menahan kedua-dua suspek dalam dua serbuan berasingan, semalam.

“Suspek lelaki yang ditahan terbabit mengaku akaun facebook bernama “Jordan Hassan” adalah miliknya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut sebelum pendakwaan dijalankan.

“Kerjasama dari orang ramai dalam membasmi jenayah adalah sangat membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Polis juga ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam menggunakan laman sosial,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|