DUN Sabah: Sikap tunggu dan lihat, terpengaruh berita palsu punca vaksinasi kanak-kanak rendah

DUN Sabah: Sikap tunggu dan lihat, terpengaruh berita palsu punca vaksinasi kanak-kanak rendah

Kota Kinabalu: Sikap ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat, selain terpengaruh dengan penularan berita palsu mengenai risiko vaksinasi kanak-kanak antara punca kadar pelalian Covid-19 kanak-kanak di Sabah masih rendah sejak dilaksanakan mulai 3 Februari lalu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata situasi itu menyebabkan vaksinasi kanak-kanak di Sabah ketika ini baru mencapai 19.95 peratus atau 84,163 orang bagi suntikan dos pertama setakat 16 Mac lalu.

Katanya, pencapaian itu berbeza berbanding program vaksinasi remaja yang setakat ini merekodkan 332,103 orang bersamaan 85.09 peratus bagi suntikan dos pertama, manakala seramai 316,118 orang lengkap divaksin bersamaan dengan 80.99 peratus.

“Kementerian saya melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedar bahawa vaksinasi untuk kanak-kanak bermula dengan agak perlahan disebabkan beberapa kekangan.

“Antaranya adalah sikap ibu bapa yang mengambill sikap tunggu dan lihat dan juga penularan khabar palsu mengenai risiko vaksinasi untuk kanak-kanak,” katanya pada Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api) mengenai usaha kerajaan menangani kadar vaksinasi yang rendah dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini.

Shahelmey berkata kerajaan sentiasa menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka untuk menerima vaksin demi memastikan keselamatan kanak-kanak terbabit.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyediakan 183 Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) untuk membantu mempercepat program vaksinasi khususnya remaja dan kanak-kanak.

“Pada masa yang sama kita juga memerlukan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pengurusan sekolah dan pihak berkuasa tempatan amatlah diperlukan,” katanya.

Katanya, PIBG atau pengurusan sekolah digalakkan menyediakan jamuan ringan untuk menarik perhatian ibu bapa dan kanak-kanak ketika proses pemberian vaksin.

Pada masa sama, katanya ada juga inisiatif pihak yang terbabit menyediakan buah tangan dan maskot sebagai insentif dan untuk menarik perhatian serta menghibur kanak-kanak di PPV.

Sementara itu, Shahelmey berkata, kerajaan negeri turut mengambil beberapa inisiatif lain untuk meningkatkan pemberian vaksin kanak-kanak dan juga dos penggalak golongan dewasa.

Katanya, ia termasuk melalui pemantauan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi penerimaan dos penggalak dalam kalangan kakitangan awam negeri.

“Selain itu, kita juga menggalakkan kakitangan awam negeri untuk mendapatkan dos penggalak dan membawa anak-anak mereka yang berumur lima hingga 11 tahun menerima vaksin.

“Kita juga nengadakan program pemimpin bersama rakyat sambil melaksanakan pemberian vaksin selain memberi kemudahan kepada penerima vaksin seperti pengangkutan ke PPV, membantu menyediakan peruntukan kewangan untuk pengoperasian PPV awam di daerah dan menganjurkan kempen vaksin ‘booster dose’ dan PICKids diperingkat negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|