DUN Sabah: Bincang dengan MAB pasarkan produk luar bandar di lapangan terbang

DUN Sabah: Bincang dengan MAB pasarkan produk luar bandar di lapangan terbang

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah bersedia untuk berbincang dengan Malaysia Airport Berhad (MAB) dalam usaha untuk memasarkan produk tempatan khususnya dari luar bandar di lapangan terbang di negeri ini.

Menterinya, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, kementeriannya sudah mula mengadakan satu pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Sebenarnya, kementerian saya sudah mula satu IKS di KKIA dan kita juga bersedia untuk berbincang dengan MAB atau mana-mana pintu kemasukan pelabuhan di Sabah,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Joachim menjawab soalan tambahan Justin Wong (Bebas – Sri Tanjong) berhubung strategi pemasaran produk luar bandar di balai ketibaan termasuk berbincang dengan MAB untuk mengurangkan kadar sewaan premis untuk pengusaha produk tempatan di lapangan terbang.

Sementara itu, Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri ketika menjawab soalan asal Datuk.Abdul Ghani Mohamed Yasin (BERSATU – Nabawan) berkata, pembukaan Pusat Usahawan IKS Sabah bertujuan untuk menyediakan ruang bagi mengumpul, mempamer, mempromosi dan menjual produk keluaran tempatan dari seluruh daerah termasuk produk usahawan informal.

“Melalui program ini, usahawan baharu boleh menghantar dan memasarkan produk mereka ke Pusat Usahawan IKS dan pihak Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) yang akan mengenal pasti produk yang berpotensi untuk dikomersialkan.

“Kini terdapat empat Pusat Produk IKS yang dibuka iaitu di Kota Kinabalu, Beaufort, Ranau dan Papar. Pada tahun ini empat lagi Pusat Usahawan IKS akan dibuka iaitu di Keningau, Sandakan, Tawau dan Kota Marudu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|