Piala Sabah 2022: SAFA Papar, KK didenda RM5,000 gagal pamer semangat kesukanan tinggi

Piala Sabah 2022: SAFA Papar, KK didenda RM5,000 gagal pamer semangat kesukanan tinggi

Kota Kinabalu: Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) memutuskan untuk mengenakan hukuman denda RM5,000 kepada pasukan SAFA Kota Kinabalu dan SAFA Papar.

Selain itu, kedua-dua pasukan juga turut dikenakan hukuman digantung selama setahun berkuatkuasa serta merta.

Datuk Abdul Rahman Mohd Zakaria

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin SAFA, Datuk Abdul Rahman Mohd Zakaria berkata, mesyuarat jawatankuasa juga memutuskan semua pegawai dan jurulatih terlibat akan diberikan surat amaran.

Katanya, ia berikutan kegagalan kedua-dua mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang Kejohanan Piala Sabah 2022 YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor peringkat Zon Pantai Barat.

“Tindakan itu diputuskan dalam mesyuarat tergempar yang diadakan, hari ini, bagi membincangkan isu yang timbul selepas dua perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan berlangsung petang semalam.

“Keputusan kedua-dua perlawanan berakhir dengan keputusan yang amat luar biasa sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rahman yang Timbalan Presiden SAFA berkata, keputusan dibuat bersama Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang diketuai Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar.

Katanya, amaran tegas ini diberikan kepada semua pasukan terlibat supaya tidak lagi mencemarkan nama baik kejohanan dalam setiap anjuran SAFA.

Dalam keputusan Piala Sabah 2022 bagi zon pantai barat semalam menimbulkan pelbagai reaksi apabila pasukan SAFA Papar tewas mengejut 1-17 kepada SAFA Putatan.

Manakala bagi perlawanan membabitkan pasukan SAFA Kota Kinabalu pula berakhir dengan keputusan 1-10 yang dimenangi SAFA Penampang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|