DUN Sabah: Kukuhkan pembangunan modal insan – Salleh Said Keruak

DUN Sabah: Kukuhkan pembangunan modal insan – Salleh Said Keruak

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak menekankan agar pembangunan modal insan Sabah diperkukuhkan melalui pelbagai usaha yang sesuai.

Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang kian berubah.

Selain itu, Salleh berkata ia penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), terutama tahap kesediaan dan kebolehanguna tenaga kerja.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata wujud keperluan untuk memberi keutamaan mendidik tenaga pekerja dan generasi masa depan mengenai jenis pekerjaan baharu yang mempunyai permintaan tinggi.

Katanya, ia termasuk pembangunan perisian dan teknologi maklumat, pemasaran digital, kewangan, pengurus projek, eksekutif jualan dan perniagaan, pengamal perubatan profesional, pendidik dan eksekutif khidmat pelanggan.

“Oleh itu, kita perlu ambil pendekatan menyeluruh dan tumpukan perhatian kepada jenis pendidikan yang meningkatkan kemahiran masyarakat kita, sekali gus menguasai jenis pekerjaan dan teknologi baharu yang lebih bersifat digital dan automasi,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada Oersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Salleh berkata peranan kerajaan adalah kunci untuk mengembangkan kemahiran dan tahap pendidikan masyarakat.

Jelasnya, ada sesetengah kerajaan terlibat secara aktif dalam meningkatkan modal insan dengan menawarkan pendidikan tinggi kepada rakyat tanpa sebarang kos.

“Kerajaan-kerajaan ini menyedari bahawa pengetahuan yang diperoleh orang melalui pendidikan membantu membangunkan ekonomi dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Pekerja yang mempunyai lebih pendidikan atau kemahiran yang lebih baik cenderung untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan pengguna tambahan,” katanya.

Sementara itu, Salleh berharap bilangan kes Covid-19 di Sabah terus menurun dan keadaan berubah lebih stabil apabila negeri ini memasuki fasa endemik tidak lama lagi.

Katanya, selain membiasakan diri dengan norma baharu, kajian semula peranan kesihatan pada masa depan atau pasca pandemik juga perlu dilaksanakan.

“Jika kita menjadikan kesihatan satu keutamaan, ini akan membolehkan kita meningkatkan kedayatahanan, mengurangkan jurang kesihatan, dan meningkatkan keadaan ekonomi dan sosial,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|