Keperluan sekolah hangus terbakar, anak mangsa kebakaran sukar ke sekolah

Keperluan sekolah hangus terbakar, anak mangsa kebakaran sukar ke sekolah

Tawau: Disaat kebanyakan ibu bapa bersemangat untuk menghantar anak ke sekolah yang dibuka bermula hari ini, dengan segala persiapan yang dibuat.

Namun berbeza buat mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya, di sini, apabila semua peralatan dan keperluan yang sudah disediakan musnah terbakar.

Salah seorang mangsa, Nur Fadhila Abdul Rasa, 29, berkata, dia amat sedih melihat kepada nasib kelima-lima anaknya tidak dapat bersekolah.

Katanya, mereka amat memerlukan bantuan bagi membolehkan semua anaknya menyambung persekolahan tahun ini.

“Anak saya yang sekolah lima orang, satu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tawau, empat lagi masing-masing di SK Sentosa dan Tadika Kemas.

“Jadi saya minta pertolongan untuk baju sekolah anak saya, kasut sekolah apa-apa yang diperlukan, itu saja yang saya mahu supaya anak saya boleh sekolah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Alma Muhammad, 48

Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran, Alma Muhammad, 48, berkata, dia mempunyai enam orang anak yang masih bersekolah.

Namun katanya, mereka sekeluarga merasa sedih kerana semua kelengkapan sekolah yang sudah dibeli habis musnah dalam kebakaran itu.

“Sebelum kebakaran memang ada bantuan awal persekolahan, dengan duit itulah digunakan untuk beli kelengkapan sekolah anak-anaknya.

“Sedih apabila semua sudah terbakar… kita pun tidak tahu musibah akan berlaku. Hari ini anak saya tidak dapat pergi sekolah.

“Harapan kami supaya anak kami boleh sekolah, kami perlukan bantuanlah untuk beli kelengkapan sekolah anak saya,” katanya.

Sementara itu, kanak-kanak yang menjadi mangsa kebakaran turut meluahkan rasa sedij kerana tidak dapat menghadiri persekolahan hari pertama.

Anniesya Raman, 13

Seorang pelajar tingkatan satu, Anniesya Raman, 13, berkata, dia teringin untuk bersekolah namun tidak mempunyai kelengkapan.

“Saya mahu sekolah tapi tiada beg, baju, kasut dan peralatan sekolah pun tiada.

“Mahu jumpa kawan-kawan sekolah pun susah, saya minta bantuan baju, beg, kasut dan peralatan sekolah,” katanya.

Mohd Sharul Masri, 15

Seorang lagi, pelajar tingkatan 3, Mohd Sharul Masri, 15, berkata, dia memohon supaya ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan kelengkapan sekolah.

“Kepada rakyat Malaysia, kami minta tolong bantuan peralatan sekolah kami, barang-barang sekolah sudah terbakar. Saya mahu belajar dan berjumpa dengan kawan-kawan dan guru-guru,” katanya.

Terdahulu dalam kejadian jam 4.45 petang Khamis lalu, lebih 700 rumah setinggan di Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas, musnah terbakar sehingga menyebabkan ratusan penduduk tinggal sehelai sepinggang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|