DUN Sabah: Kumpul dokumentasi pulau sebagai bukti kedaulatan Sabah – ADUN Sebatik

DUN Sabah: Kumpul dokumentasi pulau sebagai bukti kedaulatan Sabah – ADUN Sebatik

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah digesa supaya menyediakan dana khas untuk membiayai kajian mengenai pulau-pulau kecil di negeri ini untuk didokumentasi dan disimpan sebagai bukti kedaulatan Sabah ke atas pulau terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir (BERSATU), berkata jika dilaksanakan, kajian itu perlu dimulakan di kepulauan Sebatik yang bersempadan dengan Indonesia.

Beliau berkata, kajian itu juga perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk berkaitan geologi bagi mengenal pasti sumber alam berpotensi dan untuk pemetaan.

“Sabah dikelilingi ratusan pulau kecil dan masih banyak yang belum diterokai. Kalaupun ada kajian dilakukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), laporan itu hanya tinggal dalam simpanan mereka.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan satu dana khas bagi pembiayaan penyelidikan dan penerbitan dokumentasi diberikan kepada Pusat Kajian Pulau-Pulau Kecil, Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS untuk kajian semua pulau di Sabah.

“Data ini amat berguna untuk kajian ekonomi dan juga simbol kedaulatan Sabah terhadap pulau di sekitarnya terutama pulau-pulau yang hampir dengan garisan sempadan antarabangsa.

“Jangan sampai peristiwa Batu Putih di Johor, berlaku pula di Sabah pada masa hadapan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Sementara itu, Hassan turut mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya meminta Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (FELDA) supaya mengagihkan 10 peratus tanah agensi itu di Sabah yang tidak berpeneroka untuk diberikan kepada peneroka baharu.

Katanya, dua kawasan FELDA dalam kawasannya, iaitu di FELDA Umas dan FELDA Kalabakan masih memiliki kawasan ladang yang luas tanpa peneroka.

“Kini generasi peneroka FELDA di Sabah sudah bercambah menjadi generasi kedua, ketiga dan ada yang sudah generasi keempat, namun FELDA masih mempunyai ladang kosong tanpa peneroka seluas Negeri Sembilan termasuk di FELDA Umas dan Kalabakan.

“Sudah sampai masanya pihak kerajaan memohon kepada pihak FELDA agar dapat memberi ruang sekadar 10 peratus daripada keluasan ladang-ladang ini untuk mengambil peneroka yang berkelayakan termasuk generasi baharu peneroka,” katanya.

Beliau turut mencadangjan agar Pulau Sebatik yang bersempadan dengan Indonesia, dilengkapkan dengan jeti konkrit yang moden, kukuh, besar, luas dan indah bagi kemudahan pemunggahan hasil pertanian penduduk serta eko-pelancongan.

Jelasnya, kemudahan itu akan menjadi pemangkin perkembangan ekonomi masyarakat dan negara, khususnya di DUN Sebatik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|