DUN Sabah: Segerakan projek berimpak tinggi termasuk Lebuhraya Pan Borneo – ADUN Tempasuk

DUN Sabah: Segerakan projek berimpak tinggi termasuk Lebuhraya Pan Borneo – ADUN Tempasuk

Kota Kinabalu: Pelaksanaan pembangunan infrastruktur berimpak tinggi seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo perlu dipercepatkan bagi memangkin pembangunan sektor pertanian dan nelayan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Mohd Arsad Bistari berkata, pembangunan sektor terbabit penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Namun, katanya apa yang berlaku ketika ini, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah jauh ketinggalan berbanding projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari segi pelaksanaan akibat masalah pembayaran.

“Bahkan, kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo ini juga mengakibatkan bencana alam seperti banjir kilat terutama di kawasan laluan sungai seperti di Penampang, Tuaran, Kota Belud dan kawasan lain yang terlibat.

“Seringkali juga kita baca rungutan dan kemarahan rakyat Sabah di media sosial dengan keadaan tapak pembinaan yang tidak teratur, lampu jalan yang tidak hidup serta jalan yang berlubang di sana sini sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Mohd Arsad berkata, beliau percaya pihak kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sedang berusaha keras termasuk mencari penyelesaian luar kotak bagi mengatasi masalah pembiayaan pojek Pan Borneo dan projek berimpak tinggi yang lain.

“Saya juga ingin mencadangkan agar lantikan kotraktor yang baharu nanti haruslah terdiri daripada syarikat Bumiputera yang berdaftar di negeri Sabah.

“Selain itu, syarikat berkenaan juga harus mempunyai modal mencukupi serta berpengalaman dalam sektor pembinaan pembangunan infrastruktur yang berimpak tinggi bagi mengelakkan daripada berlakunya isu kelewatan kerja disebabkan oleh kontraktor yang tidak mempunyai pengalaman dalam melaksanakan skop kerja projek,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arsad berkata, bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat, kerajaan perlu terus menyediakan keperluan asas kepada semua penduduk setempat.

Katanya, agenda kerajaan dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan utiliti haruslah diberikan sokongan sepenuhnya.

“Ia terutamanya membabitkan keperluan asas penduduk luar bandar yang masih belum menerima bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan kemudahan teknologi komunikasi.

“Begitu juga dengan akses jalur lebar dan kemudahan internet juga harus melalui proses penaiktaraf dan penambahbaikan.

“Pada masa kini, kemudahan internet sudah dianggap keperluan asas, bukan lagi sekadar satu kehendak,” katanya.

Beliau berkata, kepentingannya dalam pendidikan juga semakin kritikal apabila pembelajaran secara PdPR mula diperkenalkan sewaktu pandemik Covid-19.

“Bagaimana nasib anak-anak kita yang ingin belajar tetapi tidak mempunyai kemudahan gajet serta akses internet yang baik.

“Justeru, saya menyambut baik usaha kerajaan dalam perancangan untuk memasang kemudahan Internet Teknologi Satelit (VSAT) di 300 lokasi pada tahun ini,” katanya.

Mohd Arsad berkata, itu jelas menunjukkan kegigihan Kerajaan Negeri Sabah yang tidak meminggirkan penduduk di kawasan pedalaman dalam menikmati kemudahan komunikasi dan internet.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|