DUN Sabah: Jangan bebani rakyat dengan kos tinggi – Amisah

DUN Sabah: Jangan bebani rakyat dengan kos tinggi – Amisah

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin mengingatkan pembekal, penjual dan peruncit yang menjalankan perniagaan untuk sama-sama memahami beban ditanggung rakyat berikutan pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan.

Katanya, rakyat sangat terkesan akibat masalah kehilangan pekerjaan, terpaksa mencari alternatif lain untuk menyara keluarga, melunaskan hutang tertunggak dan kehidupan norma baharu yang menyekat banyak perkara berbanding kebiasaan.

“Paling menyedihkan apabila keperluan asas yang wajib ada, yang mampu dibeli oleh rakyat untuk dijadikan bekalan asas, berkurang di pasaran dan tidak lain tidak bukan pastinya yang saya maksudkan adalah bekalan telur ayam dan juga minyak masak paket.

“Saya akui ada kedai yang mempunyai stok bagi bekalan makanan asas ini namun banyak juga kedai yang kekurangan stok dan menjualnya dengan harga yang agak mahal berbanding kebiasaannya, barangkali kerana kekurangan bekalan dari pihak pembekal atau pengilang.

“Namun pada akhirnya, rakyat yang terkesan dengan masalah ini akan tersepit dan terpaksa berbelanja lebih untuk membeli minyak masak botol yang harganya jauh lebih mahal, yang mana saya sangat yakin, bukan semua daripada kita di luar sana mampu untuk berbelanja lebih kerana desakan komitmen hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Amisah berkata, masalah itu boleh diteliti dan diperhalusi dengan lebih lanjut oleh Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mencari jalan penyelesaian.

Selain itu, Amisah turut membangkitkan isu kekurangan bekalan kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 di pasaran.

“Kit ini sudah menjadi satu kewajipan, satu keperluan bagi kita semua pada masa kini, kebanyakan urusan kita semuanya memerlukan untuk kita memeriksa status kesihatan kita dengan kit ujian itu dan pastinya ini akan terus menerus selagi mana kita masih hidup bersama Covid-19.

“Bekalan kit ujian ini yang tidak mencukupi di pasaran hingga memaksa pengguna untuk memasuki banyak kedai, sebelum berjumpa dengan kit ujian dan lebih menyedihkan kadangkala kit ujian yang dijual itu diletakkan harga yang agak di luar kemampuan.

“Bayangkan satu keluarga mempunyai ibu ayah, anak-anak dan mungkin juga atuk nenek, bagi mereka pastinya perlu mengeluarkan belanja yang lebih banyak untuk membeli kit ujian ini, hanya untuk sekali guna dan harga yang mahal,” katanya.

Dalam pada itu, Amisah menambah peperangan yang meletus di antara Rusia dan Ukraine turut menjadi punca kepada masalah kemerosotan ekonomi rakyat dunia, secara keseluruhannya.

“Peperangan di sana memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dan lain-lain bekalan barang keperluan bagi kita di sini, dan tentu saja turut menyumbang kepada masalah ekonomi yang meruncing.

“Saya ingin menyeru pihak berkaitan yang mengendalikan bekalan khasnya seperti bekalan baja agro pertanian, produk makanan dari negara itu dan bijirin, untuk bertindak segera bagi meneliti penyelesaian paling terbaik, atau setidak-tidaknya alternatif lain yang boleh dilakukan, agar kita tidak terputus bekalan atau keadaan menjadi lebih tenat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|