Tenom: Hujan sejak semalam menyebabkan sebuah keluarga di Kampung Kalangkanar, di sini, terpaksa dipindahkan berikutan rumah mereka dinaiki air.
Keluarga terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan itu dipindahkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan bencana banjir, jam 3.56 petang tadi.
Katanya, sepasukan bomba bersama kenderaan dan sebuah bot kemudian bergegas ke lokasi banjir.
“Pasukan bomba menjalankan pemindahan mangsa seramai empat orang ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah Kebudayaan Kampung Kalangkanar.
“Pasukan bomba masih berada di lokasi untuk bersiap sedia menjalankan operasi pemindahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Setakat ini, katanya, hanya satu PPS banjir dibuka di daerah ini.
“Maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka