Kota Kinabalu: “Biar kita tumbuk meja sama-sama untuk dapatkan hasil yang lebih besar kepada Sabah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dalam perbahasannya mengenai pemberian hasil bersih persekutuan kepada Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau berkata, jika Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mahu tumbuk meja jika Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS tidak memberi kelebihan kepada Sabah, semua pemimpin Sabah perlu bersama menyuarakan desakan untuk menuntut hak Sabah.
“Jika YB Menteri mahu tumbuk meja, maka biar kita tumbuk meja sama-sama untuk dapatkan hasil persekutuan yang lebih besar kepada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Masidi mencelah perbahasannya dan mengatakan bahawa kerajaan tidak memansuhkan Perkara 112 C dan D Perlembagaan Persekutuan berkaitan agihan hasil 40 peratus kepada Sabah.
Bagaimanapun, katanya formula mengenai agihan itu belum dapat dilaksanakan memandangkan masih ada perkara yang tidak memuaskan berkaitan tuntutan Sabah.
“Sebenarnya kerajaan tidak memansuhkan formula 40 peratus seperti dinyatakan dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan tetapi ianya tidak dapat dilaksanakan. Sebab itu Kerajaan Negeri mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan dan bersetuju kepada formula baharu,” katanya.
Terdahulu, pagi tadi Masidi menyatakan beliau selaku ketua pasukan rundingan Kerajaan Negeri dengan PETRONAS bagi memuktamadkan CCA akan menumbuk meja dan keluar dari bilik mesyuarat jika perundingan tidak memberi manfaat kepada Sabah.
Dalam pada itu, Ewon berkata kerajaan perlu menjelaskan sebab formula 40 peratus sebelum ini tidak dapat dilaksanakan memandangkan rakyat Sabah mahukan jawapan selepas Menteri Kewangan Persekutuan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan di Dewan Rakyat, baru-baru ini bahawa formula itu tidak lagi terpakai.
“Kita perlu tuntut hasil yang lebih besar untuk Sabah. Biar kita tumbuk meja sama-sama untuk ini,” katanya.
Sehubungan itu juga, Ewon meminta kerajaan negeri menjelaskan di DUN mengenai formula baharu yang dipersetujui itu.
-Deasoka