Peringkat akhir Piala Sabah 2022, bakal saji aksi menarik

Peringkat akhir Piala Sabah 2022, bakal saji aksi menarik

Kota Kinabalu: Lapan pasukan yang layak ke peringkat akhir Kejohanan Piala Sabah 2022 YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bakal berentap bermula, 23 Mac depan.

Perlawanan membabitkan lapan pasukan yang sebelum ini menjuarai peringkat zon masing-masing akan diadakan di Padang Sintetik Kompleks Sukan Likas dan Padang Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, sebelum aksi final di Stadium Likas, 27 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Azman Mastar berkata, pasukan yang layak ke peringkat akhir kejohanan ini adalah pasukan SAFA Tuaran, SAFA Putatan, SAFA Pitas, SAFA Membakut, SAFA Libaran, SAFA Telupid dan SAFA Keningau serta SAFA Tawau.

Katanya, kejohanan akan berlangsung menggunakan format kumpulan sebelum acara final yang menemukan juara kedua-dua kumpulan A dan B.

“Kejohanan ini diharap akan menjadi medan buat pemain-pemain baharu untuk mempamerkan kemahiran dan bakat masing-masing.

“Kita percaya, menerusi kejohanan seperti ini, kita akan mampu melahirkan pemain yang berkualiti seperti lagenda Negeri Sabah seperti Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Matlan Marjan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas acara pengundian yang dijalankan di Pejabat SAFA, di sini, hari ini.

Azman berkata, beliau berharap ini akan mencapai sasarannya dan sekaligus berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, orang ramai yang berminat menyaksikan kejohanan ini juga dialu-alukan untuk hadir memberi sokongan kepada pasukan masing-masing mengikut jadual ditetapkan.

Sementara itu, hasil undian yang diadakan secara atas talian menyaksikan Kumpulan A dibarisi oleh Pasukan SAFA Tuaran, SAFA Putatan, SAFA Pitas dan SAFA Membakut.

Manakala bagi Kumpulan B pula dibarisi oleh pasukan SAFA Telupid, SAFA Tawau, SAFA Keningau dan SAFA Libaran.

Proses undian dijalankan oleh pemain lagenda negara iaitu Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|