Bergaduh angkara jambatan

Bergaduh angkara jambatan

Tawau: Perselisihan faham berhubung isu baikpulih jambatan dipercayai menjadi punca insiden pergaduhan sekumpulan lelaki yang berlaku di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, beberapa individu dilaporkan cedera selepas ‘bertempur’ menggunakan kayu dan parang sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian rusuhan di kampung berkenaan.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca salah faham antara penduduk kampung mengenai isu pembinaan atau pembaikan jambatan di satu kawasan yang terbabit dalam kebakaran, 17 Mac lalu.

“Susulan insiden itu, polis membuat tangkapan ke atas enam lelaki iaitu empat warga tempatan dan dua warga asing berusia lingkungan 20 hingga 70 tahun.

“Semua suspek terbabit ditahan di beberapa lokasi di sekitar daerah ini sejak awal pagi tadi dan mereka dikenalpasti terbabit dalam kes berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Jelas beliau lagi, semua tangkapan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Tiada rekod jenayah dikesan daripada suspek yang ditangkap dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan suspek dan senjata yang digunakan.

“Dalam insiden itu juga, seramai enam lelaki yang cedera dalam rusuhan ini mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, polis ingin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan polis.

Katanya, masyarakat juga dinasihati untuk tidak sesekali menularkan maklumat-maklumat yang tidak sahih kepada umum.

“Sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Polis Yusman Syahri Marindah di talian 013-8608200 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Farid Idham Mohd Affandi di talian 013-4671783 atau mana-mana balai polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang mempertuntukan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, kes turut disiasat Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Terdahulu, video dan gambar kejadian aksi amuk guna kayu dan parang sekumpulan lelaki itu tular dengan memaparkan mereka menetak serta melibas parang antara mereka.

Turut tular, beberapa keping gambar menunjukkan individu cedera dengan berlumuran darah dipercayai terbabit pergaduhan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|