Sidang DUN Sabah: Shafie diasak isu tuntutan waris Sultan Sulu

Sidang DUN Sabah: Shafie diasak isu tuntutan waris Sultan Sulu

Kota Kinabalu: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diasak supaya mendedahkan apa yang dilakukan kerajaan negeri berkaitan tuntutan pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu di Madrid, Sepanyol ketika beliau menjadi Ketua Menteri sebelum ini.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan (WARISAN) bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara itu selain menegaskan bidang kuasa yang membabitkan hal antarabangsa terletak di tangan kerajaan Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang juga enggan melayan sebarang pertanyaan lanjut berhubung isu berkenaan ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan negeri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

“Saya sudah mengatakan mana ada kerajaan negeri mempunyai kuasa berunding dengan negara lain atau mana-mana mahkamah antarabangsa, ia adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

“Hari ini Parlimen Filipina berbahas mengenai perkara ini (tuntutan ke atas Sabah), ia bukan bermaksud kita mengiktirafnya, tidak. Maksud saya persekutuan perlu lihat ancaman dari negara jiran itu,” katanya.

Sebelum itu, ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee (SAPP) mencelah dalam perbahasannya untuk meminta penjelasan berhubung satu laporan media dalam talian pada 2018 mengenai kerajaan negeri menghantar wakil dalam isu tuntutan waris Sultan Sulu di mahkamah arbitrasi di Madrid, Sepanyol.

Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ketika sistem penggiliran Ketua Menteri pada 1990-an, berkata beliau pernah meminta penjelasan yang sama ketika kerajaan WARISAN memerintah Sabah selama dua tahun sebelum ini, namun tidak diberikan jawapan.

Selain Teck Lee, seorang lagi ADUN kerajaan, Datuk Annuar Ayub (STAR – Liawan turut meminta penjelasan yang sama, namun Mohd Shafie tetap dengan pendiriannya tidak mahu melayan perkara yang sama.

“Banyak lagi yang saya mahu katakan dalam perbahasan saya,” katanya.

Sementara itu, dalam perbahasannya Mohd Shafie antara lain membangkitkan isu keadaan jalan raya yang mengalami kerosakan di seluruh Sabah, khususnya di laluan yang menghubungkan pantai timur seperti Jalan Kalabakan-Nabawan.

Selain itu, Mohd Shafie turut menyentuh mengenai tuntutan hasil 40 peratus Sabah dan perkara lain berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau turut mencadangkan agar tempoh persidangan DUN Sabah dipanjangkan, selain meminta jawapan soalan lisan ADUN dijawab oleh menteri yang berkaitan jika berada di dalam dewan persidangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|