Kota Kinabalu: Rakyat Sabah akan menikmati jalan raya yang selesa selepas dua tahun setengah dari sekarang dengan siapnya jajaran Lebuhraya Pan Borneo.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sebelum tempoh itu tiba, pengguna perlu bersabar sementara dengan keadaan jalan yang ada.
Beliau menjelaskan ada jalan raya di negeri ini yang sudah tamat jangka hayatnya dan perlu dinaik taraf namun ia menelan kos yang tinggi selain jalan itu sudah tidak akan digunakan apabila Lebuhraya Pan Borneo siap.
“Jalan di Batu 32 Telupid, jalan ini jangka hayatnya sudah tamat pada 2018 dan sudah tentu apabila jangka hayatnya tamat akan mengalami kerosakan sebab itu pakej Pan Borneo di pakej 28, 29 dan 30 diberi keutamaan.
“Kalau kita naik taraf sudah tentu akan menelan belanja beratus-ratus juta sedangkan projek Pan Borneo ini sedang dilaksanakan.
“Jadi kita kena bersabar dalam dua tahun setengah, selepas itu kita akan menikmati jalan raya yang betul-betul selesa tanpa ada kebimbangan dan keraguan,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Bung Moktar menjawab soalan tambahan yang Dr Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik-Pas) berhubung jalan raya yang mengalami kerosakan menyebabkan pengguna menghadapi masalah.
Bung Moktar berkata beliau sendiri merasai masalah yang dihadapi rakyat berikutan keadaan jalan raya di negeri ini.
“Saya pun melalui jalan yang sama, saya pun pantau, saya pun lihat, saya pun sakit hati, tayar pun pecah tetapi saya melihat bahawa tidak ada pilihan yang kita boleh ambil sebab jalan ini akan dinaik taraf.
“Kalau kita buat RM200, RM300 juta lepas itu jalan itu kita robohkan juga akhirnya kita membelanja dalam keadaan tidak sesuai.
“Justeru, beritahu rakyat di kawasan kita bersabar kita akan bagi jalan raya yang baik selepas ini,” katanya.
Dalam satu lagi soalan tambahan oleh Calvin Chong (Bebas – Elopura), Bung Moktar berkata, usaha yang dilakukan ketika ini adalah untuk mengurangkan kerosakan jalan raya.
Bagaimanapun, katanya jalan raya terbabit tidak boleh dibaiki sepenuhnya kerana ia tidak diguna pakai lagi selepas diganti dengan jajaran baharu Lebuhraya Pan Borneo.
-Deasoka