Sidang DUN Sabah: CCA dengan PETRONAS beri peluang tinggi kepada Sabah dalam industri minyak dan gas

Sidang DUN Sabah: CCA dengan PETRONAS beri peluang tinggi kepada Sabah dalam industri minyak dan gas

Kota Kinabalu: Sabah diberi peluang tinggi dalam aktiviti huluan, gas asli cecair (LNG) dan hiliran melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang ditandatangani pada 7 Disember tahun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peluang dalam ketiga-tiga aktiviti itu akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan yang terbabit dalam industri minyak dan gas.

“Pada masa sama, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya juga diberi peluang untuk menyertai peratus pegangan saham yang lebih tinggi bagi memastikan keuntungan industri minyak dan gas dapat memberi pulangan atau hasil yang tinggi kepada kerajaan negeri.

“Pada akhirnya nanti ia akan dapat dinikmati oleh rakyat melalui perancangan pembangunan negeri yang akan merancakkan aktiviti ekonomi negeri ini,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Masidi menjawab soalan Datuk Mohamaddin Ketapi (BERSATU – Segama) mengenai faedah diperolehi rakyat dan negeri dengan adanya CCA berkenaan.

Selain itu, Masidi berkata, menerusi CCA itu, pihak PETRONAS juga terus komited untuk membayar tunai royalti minyak dan cukai jualan negeri sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas.

“Perjanjian ini juga memberi hak kepada kerajaan negeri Sabah dalam industri minyak dan gas untuk memudahkan kerjasama komersial dengan anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.

Secara ringkasnya, Masidi berkata CCA memastikan Sabah mencapai perkongsian hasil penyertaan dan penguasaan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas di Sabah secara komersial.

Katanya, ia sekali gus memastikan negeri Sabah mengekalkan hak perundangannya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|