Padah cuba lari, pengedar ditahan bersama 152.06 gram syabu

Tawau: Cubaan seorang pengedar dadah melarikan diri daripada polis ketika dihampiri di sebuah stesen minyak, di sini gagal apabila suspek berjaya ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu, kelmarin.

Suspek lelaki berusia 36 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 12 tengah hari dan merampas 152.06 gram syabu.

beberapa ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 152.06 gram yang dirampas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang ketika itu menunggang motosikal dihampiri oleh anggota polis kerana kelihatan mencurigakan.

“Ketika dihampiri oleh anggota polis yang bertugas bertindak cuba melarikan diri namun sempat dihalang.

“Pemeriksaan menemui bungkusan plastik dibakul motosikal yang didalamnya mengandungi beberapa ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 152.06 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan saringan air kencing juga mendapati positif Methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

“Polis Tawau sedang giat menjalankan operasi berterusan bagi mengesan dan menangkap penjenayah serta pesalah yang berkaitan dengan dadah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|