Tawau: Seorang lelaki warga asing ditahan polis tidak sampai 24 jam selepas memecah masuk sebuah premis di Merotai Besar, di sini, semalam.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dari Balai Polis Bombalai, jam 5.10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, polis menjalankan serbuan di sebuah rumah di Kampung Simpang Tiga, Merotai Besar.
“Ketika serbuan dijalankan, suspek berjaya ditahan dan beberapa barang disyaki berkaitan kejadian pecah premis dirampas.
“Anggota polis turut merampas sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Suspek dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan salah. Suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.
-Deasoka