Antara ‘ikan masin’ dan kenaikan harga, rakyat terus terhimpit

Seorang ‘inan’ bertanya kepada penjual ikan masin di Tamu Tamparuli pada Rabu lalu mengenai harga ikan sulig kering, dijawabnya RM26 sekilogram.

Diambilnya seekor bersaiz kira-kira dua telapak tangan, ditimbang dan penjual memberitahunya harga seekor ikan masin itu RM10, si ‘inan’ kelihatan terkejut.

Kuasa beli rakyat semakin kurang berikutan kenaikan harga barangan.

Si ‘inan’ tidak jadi membeli meskipun diturunkan RM1 kepada RM9 oleh si penjual, raut wajahnya berkerut, dalam fikirannya mungkin berkata, adui ikan masinpun makin mahal.

Benar, penulis sendiri sebelum ini sering membeli ikan masin, namanya ikan masin ‘sulig’ itu harganya tiga tahun lalu bagi saiz sebesar dua telapak tangan baru antara RM15 hingga RM18 sekilogram, ambil seekor mungkin paling mahal hanya RM4 atau RM5.

Gambar Hiasan

Namun, situasi hari ini sudah berbeza, bukan setakat RM26 sekilogram, kalau pergi ke pasar seperti di Putatan atau di Kota Kinabalu, harganya boleh mencecah antara RM30 ke RM40 sekilogram.

Dulu, bagi kebanyakan orang, ikan masin adalah makanan kampung, harganya pun tentunya setaraf dengan kampung tetapi hari ini, ikan masin juga sudah menjadi makanan mewah kerana harganya semakin naik.

Kalau adapun yang murah berharga antara RM14 hingga RM20 sekilogram, bagi bersaiz kecil, namun lima, enam tahun lalu harganya ada yang tidak sampaipun RM10 sekilogram.

Itulah situasi yang terpaksa dihadapi rakyat di Sabah hari ini, semakin hari harga barang termasuk makanan, semakin mahal.

Jika ditanya apa sebabnya, jawapan mudah bagi mereka yang memahami mengenai teori ekonomi, ketika ini dikatakan kadar inflasi semakin naik.

Inflasi bermaksud dengan jumlah wang sama yang kita ada sebelum ini tidak lagi dapat membeli jumlah barangan yang sama ketika ini kerana harga barangan meningkat.

Kebelakangan ini memang ramai yang bercakap pasal inflasi, kenaikan harga barang dan kebimbangan mengenai kesan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat terhadap ekonomi.

Sebagai rakyat biasa, mereka tidak faham bagaimana situasi itu boleh berlaku, apa sebabnya, apa puncanya dan siapa yang melakukannya.

Berilah penerangan sepanjang manapun, rakyat tidak akan faham apa itu inflasi, apa itu kejatuhan nilai ringgit dan kenapa ia menyebabkan harga barang meningkat.

Apa yang rakyat mahu tahu, wang yang ada di tangan mereka seharusnya mampu membeli barangan keperluan mencukupi untuk memenuhi tuntutan diri dan keluarga.

Jika wang yang ada tidak lagi mampu membeli barangan keperluan dengan jumlah yang sama seperti sebelum ini maka merungutlah mereka, itu yang rakyat tahu.

Namun, rakyat tidak dapat berbuat apa-apa selain meluahkan harapan kepada kerajaan supaya membantu mereka menangani kenaikan harga barang, mendesak supaya menaikkan harga getah, beri anak mereka pekerjaan, teruskan subsidi dan malah menyediakan bantuan kewangan.

Walaupun bukan mudah memenuhi tuntutan mereka, kerajaan perlu memberi maklum balas yang positif kerana itu yang mahu didengar oleh rakyat, bukannya pelbagai penerangan mengenai inflasi, kejatuhan ringgit, kelembapan ekonomi dan apa saja alasan lain.

Semua itu tiada maknanya kepada rakyat biasa atau yang disebut marhain lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di pedalaman yang sejak sekian lama berdepan kos barangan dan pengangkutan yang tinggi.

Rakyat di luar bandar hanya bernasib baik kerana mereka masih ada sumber makanan yang dihasilkan sendiri seperti menanam padi, sayuran, ubi, jagung atau mencari hasil alam semulajadi di hutan, sungai dan laut untuk dimakan.

Cuma, sekali sekala rakyat di pedalaman juga perlu ke pekan atau bandar berdekatan untuk membeli barangan seperti pakaian, keperluan sekolah anak-anak atau lain-lain yang tidak didapati dari alam semulajadi.

Bayangkan kalau di tangan hanya ada RM100, bagi mereka yang tinggal di pedalaman Pensiangan contohnya untuk keluar ke Nabawan, mereka perlu menaiki bot dan tambangnya bukan murah.

Wang RM100 tidak mungkin mencukupi bagi penduduk pedalaman untuk keluar ke pekan atau bandar terdekat bagi membeli barangan yang tiada di kampung mereka.

Mencari wang sebanyak itu juga bukannya mudah bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

Bagi mereka yang tinggal di bandar pula, kata orang semuanya perlukan duit kerana tiada tempat untuk menghasilkan makanan sendiri atau hutan untuk mencari pakis atau lembiding untuk dijadikan sayur.

Pakis dan lembiding yang dijual di pasar juga semakin mahal, kalau dulu hanya RM2 seikat, sekarang sudah RM3 seikat atau kalau ada yang mengekalkan harga RM2 seikat, ikatannya sudah semakin mengecil.

Bayangkan penduduk bandar yang bergaji minimum RM1,200 sebulan, wang sebanyak itu tidak mencukupi jika tiada pendapatan sampingan terutama mereka yang tiada rumah sendiri.

Sewa rumah di flat saja antara RM600 ke RM800 sebulan, kecuali yang dapat rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dapatlah RM120 sebulan.

Belanja harian keluarga, bil utiliti seperti air, elektrik dan telefon lagi, selain bayaran bulanan kereta atau motosikal sudah berapa ratus sebulan.

Dengan harga barangan yang kian mahal, sedangkan gaji masih pada tahap sama, kuasa beli kebanyakan penduduk bergaji minimum di bandar pasti semakin menurun.

Inilah kisah benar dihadapi rakyat ketika ini terutama yang bergaji kecil sama ada di bandar atau luar bandar, belum lagi diambil kira yang hilang pekerjaan dan dan tiada kerja tetap akibat pandemik Covid-19.

Bagi yang bergaji besar mungkin tidaklah terkesan sangat tetapi sebagai pemerintah yang prihatin dan bertanggungjawab, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menangani kesan peningkatan inflasi yang sedang menghimpit rakyat ketika ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|