Bomba bantu tenangkan pelajar mengamuk

Penampang: Seorang pelajar tingkatan lima terpaksa ditenangkan selepas mengamuk ketika belajar di sebuah sekolah di daerah ini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, remaja berusia 17 tahun yang dipercayai mengalami gangguan emosi terbabit bagaimanapun berjaya dikawal selepas dipujuk pasukan operasi bomba.

Pelajar berusia 17 tahun terbabit terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.35 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Pelajar lelaki terbabit mengamuk di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan dan pasukan bomba yang hadir berjaya memujuk mangsa.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi terus menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.51 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|