Kota Kinabalu: Sabah FC diasak Kelantan United FC hingga ke masa tambahan sebelum mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas, malam ini.
Gol kemenangan skuad Sang Badak itu dilakar pada minit ke-111 menerusi pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani yang dimasukkan bermula pada babak kedua permainan.
Sebelum itu, permainan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 ketika wisel penamat 90 minit ditiup pengadil.
Sabah FC mendahului jaringan pada minit ke-41 menerusi rembatan pemain import dari Jepun, Taiki Kagayama yang pantas mengambil peluang merampas bola yang terlepas daripada dakapan penjaga gol Kelantan, Mohd Fikri Che Soh.
Mohd Fikri sebelum itu menggagalkan percubaan pemain Sabah FC, Stuart John Wilkin, namun dakapan bolanya kurang kemas lalu terlepas sebelum berjaya dirampas Taiki.
Memasuki babak kedua perlawanan, pemain Kelantan mula beraksi agresif sehingga akhirnya berjaya mencipta gol penyamaan pada minit ke-67 melalui pemain importnya, Njoku Jacob.
Kedudukan 1-1 itu kekal hingga ke wisel penamat sekali gus memaksa permainan dilanjutkan ke masa tambahan sebelum gol Saddil menjadi penyelamat untuk Sabah terus mara ke perlawanan Piala FA seterusnya.
-Deasoka