Pitas: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Bengkoka, Kampung Mangkabusu, di sini, diteruskan hari ini.
Operasi mencari Rikson Josh, 12, yang kini memasuki hari kedua dilaksanakan seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.
Turut serta dalam operasi mencari sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Sabah) berkata, operasi SAR yang bermula jam 7 pagi tadi dijalankan di tepi sungai berkenaan.
“Setakat ini mangsa terbabit belum ditemui dan operasi mencari masih giat dijalankan,” katanya.
Dalam kejadian jam 2 petang semalam, mangsa dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti berkelah di tepi sungai berkenaan.
-Deasoka