Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar lebih 7 tan barang kawalan bernilai RM173,506

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar lebih 7 tan barang kawalan bernilai RM173,506

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai barang kawalan bernilai RM173,506 dalam operasi di sini, semalam.

Barangan iaitu 1.6 tan gula pasir, 2.1 tan minyak masak paket, 3.4 tan tepung gandum dan 1,764 set kosmetik pelbagai jenama serta barangan runcit campuran yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Barangan kawalan gula, minyak masak dan tepung gandum yang cuba diseludup keluar ke negara jiran. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, barangan berkenaan dirampas daripada sebuah bot kargo tempatan yang diperiksa anggota Maritim Malaysia di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika timur laut Tanjung Saima, Pulau Sebatik, jam 1.30 pagi.

Katanya, bot kargo yang sarat dengan muatan dikesan bergerak dari arah perairan Batu 3 menuju ke kawasan sempadan perairan Malaysia – Indonesia oleh bot ronda yang sedang melaksanakan Op Cegah PATI Selatan.

Anggota Maritim Malaysia menunjukkan barangan kawalan yang dirampas. Pix Ihsan Maritim Malaysia

“Pemeriksaan awal mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang tekong bersama penumpang wanita warga tempat berusia 32 dan 35 tahun.

“Seterusnya pemeriksaan dokumentasi terhadap barangan yang dibawa mendapati tekong gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa serta mengemukakan dokumen kastam yang meragukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bot kargo yang ditahan selepas membawa muatan barangan kawalan seperti gula, minyak masak, tepung dan barangan kosmetik. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Menurutnya, tekong juga turut mengabaikan aspek keselamatan di laut kerana tidak mempunyai pelampung keselamatan dan alat pemadam api.

“Penggeledahan menyeluruh ke atas bot karga menemukan pelbagai barangan kawalan, barangan kosmetik serta barangan runcit yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Semua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM173,506 manakala keseluruhan rampasan termasuk bot kargo, enjin dan muatan disita dianggarkan RM212,956,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek bersama bot serta muatan diiringi ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes siasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1861, Akta Kastam 1967, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau ditalian 089-752116 dan talian kecemasan 999,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|