Tiada kes wajib beli barang lain untuk dapatkan minyak masak paket – Shahelmey

Tiada kes wajib beli barang lain untuk dapatkan minyak masak paket – Shahelmey

Kota Kinabalu: Tiada kes dilaporkan berhubung syarat wajib beli barang lain bagi mendapatkan minyak masak paket di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Katanya, setakat ini pembelian minyak masak bersubsidi itu dihadkan untuk dua paket saja bagi setiap pembelian namun tidak melibatkan syarat lain untuk mendapatkan barang bersubsidi itu.

“Setakat ini tiada di Sabah wajib beli barang lain untuk dapatkan minyak masak.

“Tetapi untuk hadkan pembelian (ada) sepatutnya hanya boleh beli dua paket saja (untuk setiap seorang),” katanya kepada media selepas mengiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pernah menerima aduan atau kejadian seumpama itu di negeri ini.

Sebelum ini, terdapat laporan akhbar memaklumkan bahawa ada premis meletakkan syarat pelik dengan mewajibkan pembelian gula untuk membeli satu paket minyak masak dan perkara itu dipercayai berlaku di beberapa daerah di sebuah negeri di Semenanjung.

Diminta mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bekalan barangan keperluan termasuk bawang dan minyak masak sentiasa dipantau dari masa ke masa terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.

“Setakat ini, bawang tidak ada kekurangan bekalan tetapi kita akan pantau dari masa ke masa sepanjang musim perayaan.

“Minyak masak paket bersubsidi juga kadang kala ada kekurangan tetapi tidak terlalu kritikal. Mungkin kurang sehari dua saja dan selepas itu bekalan akan datang dan biasanya minyak paket ini dibeli untuk kegunaan sendiri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|