Beluran: Operasi mencari kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di sungai di sebuah ladang, di sini, berhasil apabila mangsa ditemui lemas selepas dua hari pencarian.
Mangsa, Mohd Ridwan Suprianto Mohd Aidil yang disedari hilang, Sabtu lalu, ditemui jam 9.50 pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pasukan operasi berjaya menemui mangsa kira-kira satu kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai tergelincir ketika aktiviti mandi di sungai berkenaan bersama kanak-kanak lain.
Ahli keluarga mangsa kemudiannya dilaporkan menemui selipar mangsa sebelum membuat laporan kehilangannya.
Sepanjang operasi pencarian, pasukan bomba menggunakan pelbagai kaedah termasuk penggunaan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 di sekitar sungai terbabit.
-Deasoka