Maritim Malaysia lancar operasi cari dua pemancing hilang

Maritim Malaysia lancar operasi cari dua pemancing hilang

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneruskan hari kedua operasi mencari dua pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mataking, di sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, operasi CARILAMAT diaktifkan sejak jam 1 petang semalam, sebaik menerima aduan berkaitan kejadian.

Operasi pencarian sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Katanya, dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Makbul dan Azip Kiram dikatakan keluar memancing sejak kelmarin, namun sehingga kini masih belum pulang.

“Selain aset milik Maritim Malaysia, operasi turut dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Taman-Taman Sabah yang digerakkan bagi melaksanakan pencarian.

“Operasi CARILAMAT yang memasuki hari kedua diteruskan pada jam 7 pagi tadi dan sektor pencarian hari kedua ini dibahagi kepada enam sektor dengan keluasan operasi merangkumi 256 batu nautika persegi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Norrimi, Pos Hadapan CARILAMAT (PHC) juga sudah diaktifkan di Jeti Pelancongan Semporna bagi membantu melancarkan proses pencarian.

Sehubungan itu, Norrimi menasihati komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri apabila melakukan aktiviti di laut berikutan keadaan angin dan ombak ketika ini.

“Ketika ini angin dilaporkan dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam dan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter melanda kawasan Pantai Timur Sabah.

“Keadaan ini dijangka akan berlarutan sehingga 20 Januari depan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|