Rakyat di pedalaman Sabah nikmati harga yang sama di bandar – Alexander

Rakyat di pedalaman Sabah nikmati harga yang sama di bandar – Alexander

Kota Kinabalu: Inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Program Penyeragaman Harga di negeri ini dapat memberi manfaat kepada rakyat di pedalaman untuk menikmati harga barangan sama seperti di kawasan bandar.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, menerusi program itu kerajaan menanggung kos pengangkutan dan penghantar barangan (transporter) untuk membawa tujuh barangan bersubsidi dan kawalan daripada pembekal di bandar ke kawasan pedalaman terpilih.

Alexander ditemui pemberita selepas merasmikan alat ulang siar dan meninjau harga barangan di Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Program ini merangkumi Program Pengedaran Barang iaitu beras, gula putih paket satu kilogram, minyak masak paket, Gas Cecair Petroleum (LPG) dan Community Drumming (Petrol RON95 dan Diesel).

“Tanpa program ini, barang-barang tersebut pastinya terpaksa dijual mahal kerana faktor pengangkutan dan transporter yang kini ditanggung oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan alat ulang siar di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan lawatan kerjanya kali ini turut meninjau beberapa pusat jualan (POS) untuk melihat sendiri barangan dihantar oleh transporter.

“Saya telah melawat di Pulau Bum-Bum, POS Mayok, POS Amin dan POS Charleys di Kundasang untuk melihat sendiri barangan terbabit dihantar oleh transporters, direkod dan dijual untuk dinikmati penduduk setempat dengan harga yang sama dinikmati rakan mereka di kawasan bandar,” katanya.

Tambah beliau lagi, pada tahun ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM240 juta untuk Program Penyeragaman Harga yang melibatkan Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming.

“Sebanyak RM400 juta pula untuk Program Penstabilan Harga Minyak Masak dan RM40 juta untuk Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am,” katanya.

Mengulas berhubung program yang dihadirinya, beliau memaklumkan alat ulang siar yang dipasang di pasar itu adalah sebagai rujukan dan saluran advokasi berkenaan dengan norma baru dan perkara-perkara yang berguna untuk masyarakat.

“Sehingga kini, KPDNHEP telah memasang enam unit iaitu di Pasar Utama Pekan Rabu Kedah, Pasar Chowrasta GeorgeTown, Pasar Payang Kuala Terengganu, Pasar Utama Siti Khadijah Kota Bharu, Pasar Besar Satok Kuching, Pasar Tamu Kapit dan kini di Pasar Besar Kota Kinabalu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|