KPM diminta percepat pembinaan asrama sekolah di Kiulu

KPM diminta percepat pembinaan asrama sekolah di Kiulu

Kiulu: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menyegerakan kelulusan cadangan membina asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, di sini, yang tertangguh sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, cadangan pembinaan asrama yang mampu menampung 80 pelajar itu hanya menunggu persetujuan KPM untuk dilaksanakan.

Joniston menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk dan pelajar di Kampung Ranap, Kiulu.

Katanya, permohonan untuk menyegerakan pembinaan asrama itu sudah disuarakan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, namun belum ada maklum balas yang diberikan.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kebanyakan pelajar datang dari kampung terpencil dan keluarga berpendapatan rendah.

“Memandangkan asrama tidak ada, pelajar terpaksa menyewa bilik di rumah penduduk kampung semata-mata untuk tinggal berdekatan dengan sekolah mereka,” katanya selepas mengagihkan bakul makanan kepada penduduk dan pelajar di Kampung Ranap di sini, semalam.

Difahamkan, PIBG sekolah itu sudah menghantar surat berhubung perkara itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sebelum dimajukan kepada KPM .

Namun, sehingga kini, iaitu selepas setahun berlalu, pihak PIBG belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

Joniston berkata, pelajar luar bandar mempunyai potensi besar yang sama seperti di bandar dan kebolehan mereka tidak harus dihadkan.

“Kerajaan mesti memainkan peranan yang berkesan dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti dan sama rata dengan memenuhi keperluan khusus pelajar luar bandar bagi memastikan mereka mendapat akses pembelajaran dengan mudah,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah turut menasihati pelajar supaya belajar dengan bersunguh-sungguh terutama mereka yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

“Walaupun datang daripada latar belakang yang susah diharap pelajar-pelajar sentiasa tabah.

“Saya bukan berasal daripada keluarga berada, jadi saya faham cabaran yang dihadapi pelajar. Namun, kita tidak seharusnya menjadikan itu sebagai alasan untuk ponteng atau berhenti sekolah. Sebaliknya, cabaran ini mendorong kita untuk melakukan yang lebih baik dan bekerja lebih keras, ” katanya.

Joniston turut mengedarkan bakul makanan kepada pelajar di Asrama Perempuan San Damiano, Pusat Latihan Belia Monfort Asrama Lelaki San Damiano dan the Good Shepherd Services.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|