Operasi cari remaja hilang masih diteruskan

Keningau: Pencarian remaja hilang di sungai Kampung Baru Durok, di sini, ketika bermandi-manda bersama keluarga sudah memasuki hari ketiga dan masih gagal ditemui.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi yang dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau itu disambung semula pada jam 8.50 pagi, hari ini.

Pasukan bomba menjalankan operasi SAR kehilangan seorang remaja lelaki di sungai Kampung Baru Durok, Keningau.

Katanya, operasi berkenaan dijalankan di sekitar kawasan Sungai Sigaton dan Kuari, di sini, berdasarkan kepada sebarang kemungkinan yang dikenalpasti.

“Operasi pencarian hari ini, turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom yang membuat pencarian di kawasan Sungai Padas.

“Pasukan operasi akan melakukan pencarian di sekitar Sungai Pegalan sehingga ke pesisir sungai di Kampung Melalap, di sini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebarang maklumat lanjut berhubung operasi pencarian ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, jurucakap JBPM Sabah berkata, operasi pencarian hari kedua semalam, dijalankan pada jarak tiga kilometer dari pesisir sungai.

“Bagaimanapun, operasi yang dijalankan selama sembilan jam itu terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang dan disambung semula hari ini,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, Sabtu lalu, mangsa yang dikenali sebagai Al Sharil, 16, dilaporkan hilang ketika mandi di sungai berkenaan bersama keluarganya.

Katanya, operasi pencarian terus dijalankan selepas pihak bomba menerima laporan namun sehingga kini masih gagal menemui mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|