Sambutan imunisasi Covid-19 kanak- kanak kurang memuaskan

Tawau: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di daerah ini kurang memuaskan dan masih mecatat peratusan yang rendah walaupu sudah dilaksanakan sejak dua bulan lalu.

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Jessica Ann Jock, berkata kebanyakan ibu bapa beranggapan menerima satu dos suntikan bagi anak mereka sudah memadai.

Hanya sembilan peratus kanak-kanak melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 di Tawau setakat ini.

Katanya, penyebaran maklumat tidak tepat melalui media sosial turut mempengaruhi pemikiran ibu bapa untuk tidak menghantar anak mereka mendapatkan suntikan imunisasi Covid-19.

“Kedua-dua dos PICKids, iaitu dos pertama dan dos kedua kurang memuaskan, mungkin ramai yang rasa bahawa terima dos pertama bagi anak mereka sudah cukup tetapi mereka tidak tahu bahawa kedua-dua dos itu adalah amat penting dalam membasmi jangkitan Covid-19.

Antara kanak-kanak yang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

“Jadi nasihat saya jangan mudah terpengaruh dengan media sosial terutamanya jika berita itu bukan daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya di sini, hari ini.

Setakat ini, program PICKids di daerah ini baru mencapai 21.4 peratus bagi dos pertama dan sembilan peratus bagi dos kedua.

Dr Jesicca berkata, selepas 15 Mei ini, Jabatan Kesihatan akan mula mengenakan bayaran bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa segera menghantar anak mereka ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kanak-Kanak di Klinik Kesihatan Kubota dan Dewan Bola Kerajang Kampung Jawa, di sini.

“Selepas 15 Mei sesiapa yang belum mengambil dos satu vaksin Covid-19 perlu membayar, jadi saya sarankan sila bawa kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas untuk mengambil dos pertama dan habiskan dos kedua.

“Selepas 15 Mei ini juga hanya ada vaksin jenis Sinovac yang diberikan secara berbayar dan tiada lagi vaksin jenis Pfizer,” katanya.

Bagi ibu bapa yang sudah menghantar anak mereka melengkapkan suntikan vaksinasi Covid-19 pula, ramai antara mereka tidak lagi terlalu bimbang terhadap keselamatan anak masing-masing.

Kebanyakan mereka menyatakan walaupun jangkitan kes Covid-19 menunjukkan penurunan namun aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diberi perhatian termasuk mengantar anak untuk menerima suntikan vaksinasi.

Suri rumah, Syarifah Sandang, berkata pengambilan vaksin dalam kalangan kanak-kanak penting kerana ia memberi perlindungan kepada golongan berkenaan daripada jangkitan teruk Covid-19.

“Selepas anak saya mengambil vaksin ini, kebimbangan mengenai keselamatan anak berkurang sikit, tidak juga terlampau takut seperti sebelum mengambil vaksin.

“Sebelum ini kita takut nanti mereka kena jangkitan tapi Alhamdulillah selepas anak saya divaksin kebimbangan itu hilang dan anak juga tidak mengalami apa-apa alahan selepas suntikan,” katanya.

Bagi seorang lagi suri rumah, Madianah Joseph, katanya walaupun kes Covid-19 sudah menurun, orang ramai perlu mengambil sikap berjaga-jaga dan tidak leka dengan pelbagai kelonggaran diberikan kerajaan.

Beliau juga tidak ketinggalan membawa tiga anaknya berumur enam, tujuh dan 10 tahun untuk melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum kemudahan percuma itu ditamatkan mulai 15 Mei ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|