29 PATI diusir keluar dari perairan negara

Semporna: Cubaan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk menggunakan empat bot laju berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di kawasan Perairan Timur Pulau Mataking, di sini, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 8 pagi itu, semua bot yang dinaiki 17 lelaki dan 12 wanita berusia dua hingga 60 tahun itu berjaya dipintas sebelum diiringi keluar dari perairan negara.

Cubaan empat bot dinaiki PATI diusir keluar dari perairan negara di Semporna.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pergerakan semua bot berkenaan berjaya dikesan pasukan operasi yang sedang menjalankan rondaan Op Taring.

Katanya, keempat-empat bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan selepas dipercayai bergerak dari perairan antarabangsa negara Filipina, masuk ke negara ini.

Bot dinaiki PATI diusir keluar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Semporna.

“Sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati semua juragan bot dan penumpang tidak mempunyai dokumen keterangan diri yang sah.

“Hasil soal siasat, semua individu terbabit mengaku sebagai warganegara Filipina dan ingin masuk ke daerah Semporna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, pasukan operasi terus membuat pengusiran dengan mengiringi keempat-empat bot berkenaan keluar daripada perairan negara.

Katanya, pasukan operasi turut menasihatkan semua pati terbabit supaya tidak lagi memasuki perairan negara secara salah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|