Gagal seludup minyak diesel, tenggiling

Tawau: Cubaan seorang lelaki menyeludup diesel berjumlah RM154,910 dengan menggunakan lori tangki yang diubahsuai berjaya ditumpaskan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, semalam.

Kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di daerah ini turut menahan seorang lelaki dewasa berusia 31 tahun.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau dan diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati tangki kenderaan itu telah diubahsuai untuk menyimpan diesel dipercayai bagi tujuan penyeludupan.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM154,910 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya merampas haiwan tenggiling yang disimpan dalam kotak di kawasan pejalan kaki di Pelabuhan CIQ lama, di sini.

Tenggiling yang disimpan di dalam kotak dipercayai diseludup.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seekor tenggiling dalam kotak dan tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik tenggiling berkenaan.

“Rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enekmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Dalam pada itu, Ridzauddin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan.

“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian ‘013-9391197’ atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian ‘089-983628’ bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|