Pemilihan PKR: Saifuddin lawan Rafizi bukan pertarungan proksi

Kota Kinabalu: Calon Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan yang mengatakan persaingan beliau dan Rafizi Ramli bagi merebut jawatan berkenaan sebagai pertarungan proksi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR menjelaskan bahawa perjalanan kempen pemilihan parti berlangsung dengan harmoni dan tertib di mana calon mengambil peluang untuk memperkenalkan diri masing-masing.

Saifuddin bersama barisan kepimpinan PKR Sabah dan beberapa calon dalam pemilihan parti itu pada Majlis Muhibah Aidilfitri 2022 anjuran PKR Sabah di SICC, Kota Kinabalu.

“Ini sekali gus menolak tanggapan setengah pihak di luar parti yang beranggapan bahawa pemilihan Parti Keadilan khususnya untuk jawatan Timbalan Presiden antara saya dan Rafizi adalah berupa pertarungan proksi yang ikut mengheret Presiden parti bersama.

“Tetapi kami menolak tanggapan itu bahawa itu lebih kepada satu agenda daripada pihak di luar parti untuk memberikan makna seolah-olah pemilihan parti khususnya jawatan timbalan adalah pertarungan proksi. Saya menolak sekeras-kerasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri 2022 anjuran PKR Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Saifuddin turut memaklumkan, beliau dan Rafizi akan memberikan perspektif mereka dalam politik menerusi sebuah program yang akan diadakan di pejabat akhbar Sinar Harian pada 11 Mei ini.

“Program yang dianjurkan Sinar Harian bertempat di pejabat mereka di Karangkraf akan memberi peluang kepada saya dan Rafizi sebagai panel walaupun diberi judul siapa layak bersama Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), apa pun tajuk saya anggap itu sekadar tajuk.

“Tetapi saya percaya, saya dan rakan saya Rafizi akan menggunakan peluang itu untuk memberikan perspektif kami, pertama tentang Parti Keadilan, kedua tentang maksud pemilihan parti yang ketiga tentu saja kami ambil peluang untuk mengulas isu-isu politik semasa tanah air.

“Jadi saya anggap itu sebagai kesempatan yang terbaik bukan dalam konteks perdebatan saling menyerang tetapi adalah satu platform untuk kami menyampaikan perspektif kami tentang pemilihan parti dan isu politik semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|