Sipitang: Aktiviti ziarah Hari Raya Aidilfitri seorang remaja bertukar tragedi apabila tergelincir jatuh ke dalam sungai sebelum ditemui lemas, dalam kejadian di Kampung Banting, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 15 tahun terbabit ditemui di kawasan sekitar sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.20 tengah hari.
Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa dilaporkan tergelincir ke sungai ketika melintasi jambatan berkenaan semasa beraya bersama keluarga.
“Mangsa dilaporkan berjaya ditemui keluarganya kira-kira jam 1.21 petang sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik EMRS,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 2.03 petang dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sipitang menggunakan kenderaan polis.
-Deasoka