Helikopter bawa pesakit ke Keningau selepas hantar guru di Nabawan

Keningau: Tidak mahu helikopter yang menghantar lapan guru pulang dengan ‘tangan kosong’ dari Nabawan, Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup mengarahkan juruterbang untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan di Keningau.

Beliau berkata, pegawainya sudah sedia menunggu pesakit yang mahu dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan.

Antara pesakit yang dibawa naik helikopter dari Nabawan ke Keningau untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Keningau.

“Saya telah arahkan juruterbang kepada dua helikopter pesawat khas yang saya sewa untuk hantar guru-guru balik bertugas ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pangaraan untuk tidak balik dengan helikopter yang kosong.

“Saya minta mereka bantu angkat ke Keningau beberapa orang pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan.

“Setelah pesakit sampai di Keningau beberapa orang pegawai saya sedia menunggu untuk membawa mereka ke Hospital Keningau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, Arthur dalam satu hantaran lain di Facebook memaklumkan bahawa beliau menyewa dua helikopter untuk menghantar lapan guru di Nabawan yang akan memulakan tugas mereka esok.

Inisiatif itu bagi memudahkan perjalanan guru terbabit balik ke sekolah masing-masing berikutan keadaan laluan darat yang rosak dan mengambil masa lama berjalan kaki disebabkan banjir besar di Nabawan baru-baru ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|