Operasi cari nelayan hilang diteruskan

Operasi cari nelayan hilang diteruskan

Kudat: Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang hilang selepas disyaki terjatuh ke laut di sekitar perairan Kalampunian, di sini, Khamis lalu, diteruskan pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, operasi dimulakan seawal jam 6.54 pagi.

Pasukan bomba meneruskan pencarian di kawasan perairan Kudat.

Katanya, pasukan bomba melakukan operasi pencarian di sekitar pesisir pantai Simpang Mengayau dan Pantai Kelambu.

“Setakat ini, belum ada sebarang petunjuk ditemukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian masih diteruskan dan maklumat akan diberikan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Abdul Rahman Sabran, 55, dilaporkan keluar ke laut untuk menangkap ikan di perairan Simpang Mengayau, kira-kira jam 4 petang, Rabu lalu.

Bot mangsa bagaimanapun ditemukan di perairan Kalampunian oleh penduduk kampung kira-kira jam 8 pagi pada keesokan harinya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan di pesisir pantai membabitkan radius tiga kilometer dari pos kawalan.

Pasukan Maritim Malaysia turut melakukan pencarian di kawasan laut bagi radius tiga batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|