Op Mabuk: Tiga pemandu mabuk ditahan, 54 saman dikeluarkan

Op Mabuk: Tiga pemandu mabuk ditahan, 54 saman dikeluarkan

Penampang: Tiga pemandu ditahan selepas disahkan memandu dengan paras alkohol tinggi dalam operasi di Jalan Kota Kinabalu – Penampang, di sini, malam tadi.

Dalam operasi Op Mabuk bermula jam 11 malam itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang turut mengeluarkan 54 saman atas pelbagai kesalahan.

Anggota polis trafik menjalankan pemeriksaan kenderaan ketika Op Mabuk di Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi berkenaan diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Jupri Usman dengan dibantu seramai lapan anggota.

Katanya, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 62 kenderaan dan 53 individu diperiksa.

Anggota polis trafik menjalankan pemeriksaan kenderaan ketika Op Mabuk di Penampang.

“Hasil pemeriksaan, seramai tiga individu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Selain itu, sebanyak 54 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, mengubahsuai kenderaan dan lesen memandu tamat tempoh,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, tiga individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

“Sabit kesalahan, boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

“Bagaimanapun operasi berjalan lancar dan berakhir kira-kira jam 3 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.

“Usaha penguatkuasaan seperti ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang selain mengesan pemandu di bawah pengaruh alkohol.

“Ia juga bagi memastikan pengguna jalan raya lain tidak menjadi mangsa kepada aktiviti samseng jalanan dan pemandu mabuk ini,” katanya.

-Deasok

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|