Persidangan DUN Sabah: RM12.41 juta diperuntukkan kepada UPPM kawasan pembangkang

Persidangan DUN Sabah: RM12.41 juta diperuntukkan kepada UPPM kawasan pembangkang

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sudah meluluskan sebanyak RM12.41 juta peruntukan untuk disalurkan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di kawasan pembangkang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Jasni Daya berkata, ia membabitkan sebanyak 354 projek kecil yang sebelum ini diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, daripada jumlah itu, lebih RM11.17 juta sudah disalurkan dan sedang dalam proses penyaluran, manakala selebihnya pula masih dalam proses mengumpul maklumat lanjut.

“Kita berharap, pihak UPPM yang terbabit supaya mengemukakan permohonan masing-masing melalui pihak berkuasa tempatan.

“Ia bagi mempercepatkan proses penyaluran peruntukan khas berkenaan kepada kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Alias Sani (Warisan-Sekong) yang bertanyakan berapa jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri kepada UPPM di kawasan-kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dan adakah ia sudah diagihkan.

Jasni berkata, permohonan mendapatkan peruntukan berkenaan perlu dikemukakan kepada Ketua Menteri.

Katanya, peruntukan berkenaan hanya akan disalurkan selepas mendapat kelulusan daripada Ketua Menteri dan tertakluk kepada prosedur kewangan sedia ada.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|