Persidangan DUN Sabah: ADUN pembangkang, pegawai daerah boleh bincang soal pembangunan

Persidangan DUN Sabah: ADUN pembangkang, pegawai daerah boleh bincang soal pembangunan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa menerima baik serta terbuka dengan perbincangan antara wakil rakyat pembangkang dan pegawai daerah dalam merancang usaha pembangunan di kawasan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, ia juga termasuk tidak menghalang pegawai daerah terlibat menyalurkan maklumat berhubung pembangunan dan penggunaan tanah kepada wakil rakyat pembangkang.

“Tidak menjadi keberatan untuk kerajaan negeri mengizinkan pegawai daerah berkongsi maklumat dengan Yang Berhormat (Pembangkang),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) sama ada kerajaan membenarkan pegawai daerah membekalkan maklumat kepada wakil rakyat bukan kerajaan.

Bagaimanapun, menjawab soalan asal ADUN Kadamaian itu, sama ada kerajaan negeri membenarkan ADUN pembangkang terlibat dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Jahid berkata, pihaknya belum ada sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan.

“Walaubagaimanapun, perkara ini akan diteliti dan dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, dalam persidangan hari ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) bertanya kepada Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berhubung permohonan membawa usul mengenai ancaman keselamatan kumpulan Sulu yang dikemukakan pada Isnin lalu.

Kadzim berkata, surat itu memohon untuk membentangkan semula usul yang ditolak pada hari yang sama.

Justeru itu katanya, berdasarkan Peraturan 23A (2) mana-mana usul yang ditolak, tidak boleh dikemukakan dan dibacakan dalam majlis mesyuarat, justeru permohonan itu ditolak.

Dalam persidangan Isnin lalu, Kadzim menolak usul dibawa Mohd Shafie itu berdasarkan Peraturan 23(2) yang menghendaki permohonan membawa mana-mana usul perlu dibuat dalam tempoh 24 jam sebelum bermulanya persidangan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|