Sandakan: Mayat wanita tidak berbaju ditemui orang awam dalam keadaan terapung berhampiran tepi tembok, Jalan Coastal, di sini, hari ini.
Mayat wanita dalam lingkungan usia 30 hingga 40 tahun itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 10 pagi sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sejurus menerima maklumat berkaitan penemuan mayat itu, polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sandakan pergi ke lokasi kejadian.
Katanya, hasil siasatan awal tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa.
“Setakat ini, siasatan juga tidak mendapati sebarang unsur jenayah/khianat ataupun kecederaan fizikal pada tubuh mangsa.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Fuad berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk bedah siasat.
“Siasatan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang boleh membantu siasatan atau kehilangan keluarga dalam tempoh terdekat ini diminta segera menghubungi pihak polis IPD Sandakan di talian 089-212222,” katanya.
-Deasoka