Bekas ADUN mahu PRK Bugaya disegerakan

Bekas ADUN mahu PRK Bugaya disegerakan

Putatan: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban mahu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan segera.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil berat perkara itu demi memastikan suara rakyat Bugaya dapat dibawa ke DUN.

Katanya, setelah begitu lama kerusi itu kosong, beliau selaku bekas wakil rakyat DUN Bugaya risau rakyat di kawasan itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Mungkin SPR belum bersedia tetapi saya agak risau juga kenapa begitu lama tidak diadakan PRK.

“Kalau sebelum ini Sarawak sudah mengadakan pilihan raya, negeri-negeri seperti Melaka dan Johor sudah pilihan raya jadi diharap diadakan pilihan raya juga,” katanya ketika ditemui media di Kampung Dumpil Bay, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kekosongan kerusi DUN Bugaya sejak kira-kira dua tahun lalu berikutan kematian penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan (WARISAN) pada November 2020.

Ramlee berkata, rakyat di kawasan itu sudah rasa ‘kehilangan’ dengan kekosongan kerusi di DUN Bugaya.

“Jangan sampai tamat tempoh PRK Bugaya ini tidak dapat diadakan sebab agak risau juga kawasan itu kawasan saya dulu dan sekarang tidak mempunyai wakil rakyat.

“Jadi tentunya agak rasa kehilangan, jadi disarankan agar dapat diadakan pilihan raya Bugaya,” katanya.

Sementara itu, ditanya jika beliau ingin kembali dalam arena politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beliau ketika ini hanya ingin memberi laluan kepada muka baharu untuk memimpin negeri ini.

“Sudah tentu beri laluan kepada generasi muda sebab kita pun sudah melalui fasa itu. Jadi sudah sampai masanya kita beri laluan kepada yang lain mungkin ada yang lebih baik.

“Saya sudah buat keputusan saya memang berehat. Jadi tidak (bertanding PRU),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|