Mayat mangsa bot terbalik ditemui

Mayat mangsa bot terbalik ditemui

Beaufort: Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot terbalik di sungai Batu 64, di sini, Sabtu lalu, ditemui hari ini.

Mayat Mao Sai Bongkok, 53, ditemukan orang awam kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian bot terbalik, jam 1.50 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga hari ini bermula kira-kira jam 6 pagi di sekitar kawasan Kampung Batu 64 dan kawasan tebing sungai.

Katanya, operasi SAR dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama menjalankan SAR menggunakan bot bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membuat Surface Water Rescue di Batu 59 ke Kampung Gadong.

“Kumpulan kedua menggunakan empat bot penduduk kampung dengan pencarian kaedah yang sama dari Batu 64 ke Batu 60.

“Mangsa ditemui oleh orang awam di Batu 58 Kampung Jimpangah iaitu kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya dibawa ke jambatan pekan Beaufort untuk pengecaman untuk pengesahan identiti.

“Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamar pada 2.30 petang tadi,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa dilaporkan bersama empat lagi rakannya yang berada di dalam bot sedang melakukan aktiviti menarik kabel dan tersangkut pada kipas bot sebelum bot dinaiki mereka terbalik.

Empat mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dilaporkan hilang sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan bomba.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|