Beaufort: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan akhirnya ditemui meninggal dunia di muara sungai Kampung Lubok Weston Tanjung, di sini, hari ini.
Mayat Zulkifli Jambul, 43, ditemui pada jam 4.14 petang dalam keadaan terapung oleh pasukan penyelamat pada hari kedua SAR dilakukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terapung oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok bersama pasukan bomba dan agensi lain pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 5 petang.
Terdahulu, operasi SAR turut dibantu oleh unit K9 dengan menggunakan anjing pengesan dan turut melibatkan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), PBS dan penduduk kampung.
Mangsa dilaporkan hilang semalam selepas keluar menangkap ikan di muara sungai berkenaan.
-Deasoka